Terima kasih kerana Sudi berkawan...

Khamis, 17 Mei 2012

Kalbuh Park - Taman buatan Manusia

Alhamdulillah...inilah tempat kami sekeluarga mencari ketenangan setiap kali hujung minggu.
Bila berada di kawasan padang pasir, mata kita teringin untuk melihat kehijauan pokok untuk menenangkan hati.
Bila dapat melihat kehijauan taman serta berendam air laut, itulah nikmat yang tidak dapat digambarkan.

Mana lagi nak pergi ketika diperantauan?
 Pemandangan dari pintu masuk

Barisan pokok-pokok kurma

 Bahagian hujung taman

 Bahagian depan taman dilihat dari astaka

 Bahagian tengah taman  dilihat dari  astaka

 Anak-anak saya bermain selepas berenang

 Pantai sebelum pintu masuk ke Taman Kalbuh

 Pantai Kalbuh yang terletak di hadapan Taman
Sekadar berkongsi keindahan taman buatan manusia yang menganjur disepanjang bukit di Mutrah, Oman.
Taman ini terletak sebelum masuk ke pintu gerbang ke Muscat, ibu negara Oman.

Rabu, 9 Mei 2012

Cara Menguatkan Magnet Diri

Sebagai insan yang diciptakan oleh Allah swt, kita dibekalkan dengan manual yang jelas untuk mengemudikan kehidupan kita.

Alhamdulillah sebagai umat Nabi Muhammad kita dibekalkan  dengan manual utama iaitu al-quran dan sunnah, yang mana al-quran akan terjaga sehinggalah hari kiamat. Begitu juga sunnah yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah saw untuk kita menjalani kehidupan dialam ini.

Kedua-duanya jika kita ikuti dengan betul dan ikhlas akan membawa kita ke arah yang betul, serta akan memudahkan hidup kita walau dimana kita berada.

Dalam masa yang sama ia akan menguatkan magnet diri kita, tanpa perlukan amalan lain sebagaimana yang diamalkan oleh orang-orang bukan Islam. Dalam kata lain kita tidak perlukan yoga, amalan tenaga dalam ataupun amalan sebangsa dengannya.

Contohnya begitu jelas semenjak dulu lagi...jika kita lihat kehidupan ulama-ulama yang begitu ikhlas beragama, magnet diri mereka begitu kuat, mereka dapat menarik insan lagi ke dalam hidup mereka  tanpa perlu bersusah-payah meminta ataupun mencari. Insan lain yang pergi mencari mereka serta begitu menyayangi mereka.

Jadi, jika kita ingin menguatkan magnet  diri kita, cubalah baca sejarah kehidupan ulama-ulama dan amalkan sebagaimana yang mereka amalkan, insya Allah kita akan dapat merasai keindahannya.

Sebenarnya amalan-amalan yang diwajibkan kepada setiap orang Islam itulah cara untuk menguatkan magnet diri kita, iaitu solat, puasa, zakat dan haji. Amalan-amalan lain akan dijelaskan kemudian.

Sebagaimana yang kita tahu, jika magnet telah hilang daya tarikannya, kita perlu sejukkannya..bila magnet sejuk, daya tarikannya akan kuat semula. Manakala daya tarikan magnet akan hilang jika ia dipanaskan.

Begitu juga diri kita, jika kita selalu sejukkan dengan mengambil wuduk untuk solat, kemudian kita menghampirkan diri kepada Allah swt, insya Allah magnet diri kita akan menjadi kuat.

Jika kita solat berjamaah pula, kita mencaskan tenaga magnet kita, dengan magnet orang lain, hasilnya magnet kita akan menjadi lebih kuat daripada  biasa. Itulah sebabnya orang lelaki diwajibkan mencaskan magnet mereka tiap-tiap  minggu, dengan cara solat jumaat.  

Kemudian kita jaga perut kita dengan mengosongkannya dengan cara berpuasa, perut kita akan menjadi lebih sejuk. Kesejukkan dibahagian perut akan menguatkan magnet diri kita.

Sebenarnya perutlah tempat yang paling panas dalam tubuh kita, jika ia tidak dijaga, ia akan menyebabkan pelbagai  masalah lain termasuklah masalah kesihatan.

Bila perut bermasalah, perangai kita pula akan susah untuk dikawal, timbullah pula perangai sakit hati, irihati, dengki, takut dan pelbagai lagi sikap negatif lain.

Perangai kita sebenarnya adalah petunjuk awal kadar kesihatan diri kita,  oleh itu cara  yang paling efektif untuk mengelakkan penyakit fizikal adalah dengan mengawal perangai kita.

Bila disebutkan menjaga perut, ia bukan sahaja dengan cara berpuasa tetapi dengan cara memilih makanan yang akan kita makan, pastikan puncanya sama ada ia halal atau haram.

Kesilapannya memilih makanan akan menyebabkan timbulnya sifat-sifat negatif, sama ada diri sendiri ataupun ahli keluarga kita. Jadi janganlah pelik jika wujudnya pelbagai jenis manusia pelik disekeliling kita. Manusia berubah tabiat apabila diubah makanan yang diambil....

Jadi, cara paling asas untuk menguatkan magnet kita adalah dengan menjaga solat dan makanan kita.
Jika yang asaspun tidak mampu kita jaga, apakah kita mengharapkan orang lain untuk membantu kita?

Insya Allah bila magnet diri kita kuat, kita juga akan mampu menarik segala keinginan kita...namun begitu kebiasaannya kita akan mampu mengawal nafsu, serta kurang berminat dengan segala tawaran dunia, serta lebih menjurus kepada mencari akhirat.

Ketika itu, indahnya dunia ini, begitu juga betapa tenangnya hati meneruskan kehidupan sehari-hari. Apa lagi yang dicari...?

Memilih Pasangan...apa rahsianya?

Alhamdulillah hari ini tergerak hati untuk berkongsi satu maklumat yang pernah saya perolehi beberapa tahun lepas, sebelum pindah ke Oman.

Sebenarnya banyak topik yang menarik untuk dibincangkan tapi saya yang tertangguh-tangguh untuk menyampaikannya. Moga kali ini saya diberi kekuatan untuk  menceritakan disini tentang hubungan sesama manusia dari segi ilmu mengenal diri.

Apa yang ingin saya sentuh kali ini ialah rahsia mengapa Rasulullah saw melarang kita bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi berhubungan sebelum kahwin atau bercinta sebelum kahwin.

Menurut apa yang pernah saya pelajari, manusia  adalah seumpama sebatang magnet, jika digantung ia akan mengarah ke kutub Utara Selatan. Itulah sebabnya sebaik-baik posisi tidur kita adalah sebagaimana magnet berehat, dada dengan sendirinya akan menghadap kiblat. Sebenarnya itulah juga cara tidur yang dianjurkan dalam sunnah.

Apabila kita menyifatkan diri seumpama sebatang magnet, banyak perkara berkaitan boleh dibincangkan termasuklah apakah yang akan menghilangkan kuasa magnet  tersebut, serta apakah yang akan menguatkan magnet tersebut?

Manakala pembahagian manusia pula mengikut arah angin sama ada utara, selatan, timur atau barat. Sebaik-baik pasangan adalah yang berpasangan arah angin iaitu utara dengan selatan, manakala timur dengan barat.

Secara tabiinya kita akan dipasangkan dengan insan yang bersesuaian arah angin dengan kita, kecuali orang yang melawan fitrah...iaitu bercinta-cinta sebelum kahwin. Ketika itu dia akan berpasangan dengan orang yang sama arah angin dengannya.

Bila dibuat kajian, pasangan yang berkahwin dengan bantuan orang tengah yang mengikut syariat yang betul, akan ditemukan dengan orang yang sesuai dengannya, walaupun mungkin mengambil masa untuk memahami satu sama lain ketika awal perkahwinan.

Manakala pasangan yang bercinta sebelum kahwin akan merasakan dia serasi dan sejiwa dengan pasangannya, terutama bagi yang bertahun-tahun bercinta tanpa melalui ikatan yang sah. Ini kerana mereka adalah daripada golongan bersifat sama dalam kebanyakan sudut.

Sepatutnya pasangan yang sama menolak antara satu sama lain, tetapi ada unsur luar yang menjadikan semuanya indah dimata, makhluk ketiga iaitu syaitan. Ketika  itu perasaan tarikan adalah begitu kuat sekali, hinggakan ramai yang tengelam dalam percintaan mereka, malah ramai yang terlanjur jika tiada iman yang kuat.

Namun begitu kehidupan pasangan yang sama arah angin ini selalunya manis terutama pada awal-awal perkahwinan, tetapi selalunya kurang teguh serta mudah terlerai, dengan kata lain begitu mudah berlaku perceraian diantara mereka.

Oleh itu, janganlah terkejut jika mendengar pasangan yang bercinta bertahun-tahun, tetapi berkahwin sekejap kemudian bercerai. Ini kerana terdapat begitu banyak persamaan sesama mereka, yang menyebabkan tiada apa lagi yang menarik untuk dikongsikan. Dalam masa yang sama magnet mereka tidak dijaga, menyebabkannya menjadi lemah. Apa lagi yang dapat menarik pasangan ini?

Dalam kajian lain berkaitan pasangan yang bercinta sebelum kahwin ini juga menunjukkan bahawa mereka tergolong ke dalam golongan sama genetik (menurut ilmu mengenal diri), yang akan melahirkan generasi yang tidak kuat dan begitu mudah mendapat penyakit genetik.

Manakala dalam masyarakat lain pula, mereka melangsungkan perkahwinan sesama kerabat yang rapat. Perkahwinan sebegini juga akhirnya akan menghasilkan anak-anak yang lemah dan berpenyakit.

Subhanallah...betapa indahnya anjuran baginda Rasulullah saw, jika kita turuti tanpa banyak soal, hikmahnya begitu besar, serta menguntungkan kita.

Sebenarnya, apa yang penting cubalah sedaya  upaya untuk menjaga syariat dalam memilih pasangan. Elakkan daripada memilih sendiri, kerana kita akan terpilih insan yang sama-sama genetik dengan kita.

Berhubungan sesama genetik ini penting dalam hubungan persahabatan, kerana ia akan menjadikan kita ceria dalam kehidupan kita, serta memudahkan urusan kita diluar.

Akan tetapi dalam hubungan perkahwinan, kita perlukan pelengkap diri kita, yang mampu kita perolehi dengan cara yang betul. Kita tidak akan berasa lengkap jika kita bertemu dengan  pasangan yang sama dalam segala segi.

Sebaik-baiknya ikutlah saranan ibubapa kita, yang lebih tahu insan yang sesuai dengan kita dari segi fitrah. Ataupun dengarlah pendapat insan-insan yang lebih lama makan asam garam hidup ini. Insya Allah kita akan bertemu dengan pasangan yang sesuai dengan kita. 

Bagi  yang sudah bertemu dengan insan yang sama dari segala segi, berusahalah untuk menguatkan magnet diri, kerana itulah satu-satunya cara untuk menarik antara satu sama lain agar kekal dalam hubungan tersebut lebih lama.

Bagaimana untuk menguatkan magnet diri?...bersambung.

Ahad, 29 April 2012

Hebatnya Teknologi Para Sahabat Rasulullah SAW

 Gambar empangan air di Qairawan
Alhamdulillah...akhirnya dapat berkongsi sedikit gambar-gambar yang diambil semasa kami melawat bandar Qairawan, sebuah pusat pemerintahan Islam di Afrika Utara pada zaman pembukaan Islam yang dilakukkan oleh para sahabat Rasulullah saw.

Bandar Qairawan terletak lebih kurang 50km daripada tempat tinggal suami saya di Sousse, Tunisia. Namun begitu ia merupakan tempat terakhir yang sempat kami lawati semasa kami ke Tunisia, iaitu sehari sebelum kami berangkat balik ke Oman semula.

Bandar bersejarah ini amat menarik perhatian saya, namun begitu saya tidak sempat melawat kesemua peninggalan sejarah dibandar ini.

 Empangan dari sudut lain
Apa yang jelas kerajaan Tunisia begitu mengambilberat segala peninggalan sejarah dengan menjaga serta membaikpulihnya.

Inilah bukti teknologi yang digunakan oleh para sahabat Rasulullah SAW untuk memudahkan penduduk yang diperintah

Salah satu daripada kemudahan tersebut ialah empangan air. Empangan ini masih dikekalkan  untuk tatapan pengunjung bandar Qairawan tetapi fungsinya sebagai punca bekalan air telah dihentikan.
 Masjid Ubah bin Nafi'
Ini adalah diantara masjid tertua di Tunisia yang diasaskan oleh Uqbah bin Nafi'.

Lihatlah Masjid yang mempunyai ciri-ciri senibina yang menarik. Ia menjadi daya tarikan utama ke bandar Qairawan, Tunisia terutama pada malam 27 Ramadhan setiap tahun hijri.
 Bahagian dalam masjid
Apa yang menariknya,  masjid ini mempunyai banyak tiang, satu ciri yang sudah semakin hilang daripada senibina masjid moden.

Mengapakah masjid dibina dengan begitu banyak tiang? Apakah fungsi tiang-tiang tersebut? Ia memerlukan kupasan selanjutnya.
 Tempat mengambil wuduk
Inilah pertama kali saya melihat teknik yang begitu menjimatkan air ketika berwuduk. Cawan-cawan berisi air diletakkan ditempat tersebut.

Ini bertepatan dengan anjuran Rasulullah saw agar kita menjimatkan air sewaktu berwuduk, walaupun kita berwuduk disungai ataupun dilaut.
 Jam Solat
 Jam solat yang terletak ditengah-tengah kawasan kosong dihadapan dewan solat. Ia membantu umat Islam menentukan masuknya  waktu solat.

 Tiang-tiang masjid yang begitu  besar dan tinggi
 Inilah diantara ciri-ciri senibina yang menarik diluar masjid tersebut.

 Pintu Masuk ke dewan solat
Pintu masuk ke dewan utama solat pula berukir indah. Sememangnya saya merasa belum puas menatap ukiran khat dimasjid ini.

 Perpustakaan Uqbah bin Nafi'
Satu lagi unsur penting yang tidak ditinggalkan ialah perpustakaan. Ia dibina didalam kawasan masjid tersebut. Apakah ini membuktikan bahawa umat Islam  terawal begitu mementingkan ilmu?

Apa yang jelas, kemudahan yang disediakan didalam kawasan masjid bertepatan dengan apa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW.

Apa yang disediakan oleh sahabat baginda adalah gambaran bahawa inilah sebabnya Islam berkembang dengan cepat pada awal zaman kedatangannya.


Khamis, 26 April 2012

Beranikan Diri Mengaji Quran

Bismillah...Alhamdulillah...

Satu fenomena yang kerap saya temui ialah orang Islam yang takut untuk mengaji Quran kerana takut akan melakukan kesilapan bacaan. 

Ini kerana ramai daripada kita didedahkan dengan maklumat bahawa sesiapa yang tersilap mengaji quran akan berdosa. Oleh kerana takut akan melakukan kesilapan bacaan, mereka rela tidak mengaji quran ataupun sekadar mengaji surah-surah tertentu sahaja.

Ada juga yang sudah dapat mengaji sendiri, dalam kata lain sudah mengenal huruf serta asas-asas bacaan quran tetapi takut untuk mengaji quran bersendirian kerana bimbangkan kesilapan yang mungkin akan berlaku.

Jadi bagaimanakah untuk kita atasi masalah ini? 
Didalam dunia hari ini, kita boleh dapati pelbagai contoh bacaan Quran serta pelbagai kemudahan lain, jadi carilah masa untuk kita masukkan agenda ini ke dalam amalan kita sehari-hari. 

Kita juga boleh amalkan mendengar bacaan MP3 Quran, sambil mengikuti bacaan tersebut. Jika mampu carilah guru-guru quran yang berwibawa untuk memberi semangat kepada kita berkaitan Quran.

Apakah kita redha dengan pencapaian hidup kita berkaitan Quran selama ini?
Apakah ada jalan penyelesaian untuk menghilangkan perasaan takut ini?

Sebenarnya ramai yang telah tersilap faham tentang hal ini, dan ramai pula yang begitu berani menyebarkan hukum tersebut tanpa mengetahui bahawa Rasulullah saw telah menjelaskan tentang hal ini didalam satu hadis yang bermaksud "....sesiapa yang mengaji quran dan tersekat-sekat akan mendapat dua pahala."

Secara logiknya, tiada manusia yang mampu melakukan sesuatu pekerjaan secara sempurna pada kali pertama, akan tetapi dengan latihan berterusan pekerjaan tersebut akan menjadi lancar dan sempurna.

Begitu juga bacaan Quran, mungkin pada kali pertama mengaji quran, akan wujud kekurangan disana-sini, tetapi berkat kerajinan dan semangat untuk meneruskan pengajian tersebut, akhirnya kita akan mampu mengaji Quran dengan lancar. 

Sekiranya kita mempunyai target didalam usaha lain, sepatutnya kita mempunyai target berkaitan Quran...berapa kali kita ingin khatam quran setiap tahun? Berapa banyak ayat yang akan kita baca setiap hari? Jadi apakah perancangan anda?

Sebenarnya jika kita bersemangat tinggi dan mampu beristiqamah, melakukannya secara berterusan, kita boleh amalkan mengaji sehelai setiap kali lepas solat, jika dikira lima kali solat adalah lima helai, maka kita akan mampu habiskan satu juzuk setiap dua hari, kesimpulannya kita akan mampu khatam quran setiap dua bulan. 

Indahnya hidup berpandukan quran...mulakan dengan mengaji agar lancar dan bertajwid, kemudian tambahkan dengan ilmu-ilmu lain berkaitan al-Quran, anda akan rasa betapa manisnya hidup ini...

Bagi surirumah carilah masa untuk menjadikan mengaji quran sebagai amalan harian kita, moga kehidupan kita sentiasa didalam Rahmat Ilahi. 

Moga Allah melekatkan Quran didalam hati-hati kita, serta memudahkan kita untuk mengamalkan bacaannya setiap hari. Amin.